Ketika DAP seperti nampak telah mula mengendurkan isu hukum hudud yang cuba dipanaskan semula, sebalikknya Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mulai kelmarin dan hari ini menyelar PKR dan DAP yang katanya menyokong hudud. Samy Vellu hari ini mendakwa Karpal telah bertukar menjadi "harimau tidak bertaring" apabila menyatakan DAP menyokong PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan.
"Harimau (Karpal Singh) kelihatan sudah menyerah kalah kepada PAS," kata Samy Vellu merujuk kepada sokongan Karpal kepada PAS dalam PRK Kuala Terengganu di mana PAS tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum Hudud.
Kelmarin Samy Vellu mencabar Ketua Pembangkang dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan secara terbuka pendiriannya mengenai hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud. Katanya, Anwar, yang merupakan penasihat PKR, tidak sepatutnya berdiam diri dengan isu itu kerana kegagalannya menyatakan pendiriannya berhubung pelaksanaan undang-undang itu boleh menimbulkan bantahan daripada masyarakat India di negara ini.
Yang melucukan kita, mengapa Samy Vellu nampak begitu kecewa apabila suara keras DAP mengenai pelaksanaan hukum hudud semakin lunak? Adakah beliau kecewa kerana semakin ramai orang bukan Islam memahami hudud menjadi berita buruk untuk BN yang bakal berdepan PAS dalam PRK Kuala Teengganu nanti? Dua hari lepas Naib Pengerusi DAP, M.Kulasegaran berkata bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak akan menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Islam di negara ini. Kenyataaan Naib Presiden DAP itu seolah-olah menunjukkan bahawa parti itu semakin faham dengan hukum hudud.
Namun ketika DAP nampak seperti semakin memahami hudud, mengapa Samy Vellu nampaknya masih senada dengan MCA dan Gerakan yang masih menjadikan hudud sebagai isu? Adakah MIC, MCA dan Gerakan masih bercakap tentang hudud dalam pendekatan yang masih keras kerana dihasut oleh abang sulungnya dalam BN yang bergelar UMNO itu? Jika itulah sebabnya, sepatutnya UMNO sebagai parti Melayu yang mengaku memperjuangkan Islam perlu berani mengeluarkan kenyataan yang senada dengan apa yang Kulasegaran katakan bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak akan menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Islam di negara ini. Cuma masalahnya sanggupkah UMNO berkata senada dengan M.Kulasegaran di tengah kegentaran pandangan sedemikian akan menimbulkan rasa amarah parti-parti komponen BN lain, khususnya MIC, MCA dan Gerakan?
Sepatutnya UMNO perlu berani menjelaskan kepada parti-parti lain di bawah komponen BN bahawa pelaksanaan hudud hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam dan tidak kena mengena dengan orang bukan Islam.
Masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah yang telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan diwartakan di Terengganu.-Marhaen
Tuesday, December 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment