Thursday, December 18, 2008

Harga barang turun?

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan para peniaga mematuhi arahan menurunkan harga barangan selaras dengan penurunan harga petrol dan diesel yang diumumkan Isnin lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi tujuan itu kerajaan akan terus meningkatkan penguatkuasaan untuk memastikan para peniaga mematuhi arahan yang telah dibuat.

Menurut beliau, beberapa langkah yang telah dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan agensi berkaitan akan terus digunakan agar para peniaga tidak sesuka hati menaikkan harga barangan terutama bahan makanan.

''Kerajaan sudah membuat beberapa langkah yang disifatkan amat berkesan untuk membendung peniaga tidak sewenang-wenang menaikkan harga barangan tanpa disuruh,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) projek Edible Garden di antara Felda dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Najib berkata, kerajaan akan terus mengalakkan lebih banyak pasar raya besar di seluruh negara untuk melancarkan program menurunkan harga pelbagai jenis barangan.

Di samping itu katanya, kerajaan turut meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi berkaitan untuk meningkatkan lagi bekalan makanan.

''Dengan meningkatkan bekalan makanan sekurang-kurangnya usaha itu akan dapat mengurangkan kos dan dapat menampung keperluan rakyat,'' katanya.

No comments: