11 Dec 2008 12:25AM
KETUA Umno Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, senarai nama calon Barisan Nasional (BN) sudah lengkap untuk diserahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri untuk dimuktamadkan.
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan bakal calon ketika mengadakan lawatan ke sini Sabtu ini.
Badan Perhubungan Umno negeri akan bermesyuarat malam esok untuk membincangkan senarai calon yang difikirkan layak untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.
"Senarai nama calon sudah ada dan saya akan kemukakan kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri (Datuk Seri Ahmad Said) dalam masa terdekat," katanya kepada mStar Online hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai nama calon yang telah dikemukakan itu.
"Saya tidak boleh dedahkan nama-nama itu sekarang kerana ia belum dikemukakan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri lagi. Saya tidak mahu membelakangkan beliau," ujarnya ringkas.
Thursday, December 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment