Tuesday, December 9, 2008

Suspek serangan Mumbai ditangkap

ISLAMABAD - Pakistan menangkap seorang komander kanan sebuah kumpulan yang didakwa terlibat dalam serangan di Mumbai, kata beberapa pegawai semalam.

Komander itu, Zaki-ur-Rehman Lakhvi (gambar) yang menurut laporan media India sebagai perancang utama serangan itu pada 26 November lalu dengan menyebabkan hampir 200 orang terbunuh.

Dia ditangkap bersama 14 orang lagi dalam satu serbuan di sebuah kem di wilayah Kashmir.

Serbuan itu dilakukan lewat kelmarin di sebuah kompleks yang dikendalikan oleh sebuah pertubuhan kebajikan, Jamaat-ud-Dawa.

Pertubuhan kebajikan itu dilihat sebagai sayap politik pertubuhan Lashkar-e-Taiba yang beroperasi di luar Muzaffarabad.

"Kelmarin, pasukan keselamatan menyerbu sebuah kem yang dibina oleh Jamaat-ud-Dawa. Sebanyak 15 orang ditangkap," kata seorang pegawai keselamatan.

Lashkar-e-Taiba ditubuh bagi memerangi pemerintahan India di Kashmir dan pernah dikaitkan dengan pihak perisikan Pakistan serta Al-Qaeda.

Kumpulan itu juga berada dalam senarai pertubuhan pengganas yang dipantau oleh Amerika Syarikat. - AFP

No comments: