Syarikat pengeluar bas dan teksi mungkin terpaksa memperbaharui permit setahun sekali mulai tahun depan sebagai salah satu langkah mengurangkan kadar kemalangan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata, kementeriannya sudahpun memaklumkan cadangan itu kepada persatuan-persatuan bas dan teksi dan sedang menunggu cadangan serta maklum balas daripada mereka.
Menurutnya cadangan itu dibuat berikutan akhir-akhir ini banyak kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang mempunyai rekod kesalahan trafik terkumpul yang banyak.
"Pada ketika ini, syarat sah laku permit bas ialah lima tahun sekali, sementara teksi, tiga tahun sekali. Tempoh itu terlalu panjang dan menyukarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) membuat pemantauan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Gerak Usahawan Majlis Pembangunan Usahawan Parlimen (MPUP) Cheras.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementeriannya akan memohon kepada Kementerian Pengangkutan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan sistem R66 ECE (Economic Commission of Europe guidelines) kepada semua kenderaan komersil kepada tahun hadapan.
"Penukaran sistem itu jika dibuat mendadak akan menyukarkan pengusaha-pengusaha bas kerana kos sebuah bas dianggarkan antara RM300,000 hingga RM400,000.
"Kita harus memberi peluang kepada syarikat pengusaha bas yang sedia ada dengan membenarkan mereka menggunakan bas yang sedia ada sehingga tempoh had umur bas itu tamat, iaitu 10 tahun. Mungkin syarat ini boleh dikenakan dahulu kepada bagi bas yang sudah melampaui tempoh itu," katanya.
Awal bulan lalu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan mengumumkan, jabatannya mengesan lebih 90 peratus daripada 8,000 bas ekspres di negara ini yang gagal mematuhi tahap piawaian keselamatan penumpang yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya kajian Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati masih banyak syarikat bas ekspres tempatan belum menukar badan bas mengikut piawaian R66 ECE yang diwajibkan kerajaan sejak 2007.
Ogos lalu, kabinet telah memutuskan supaya semua kenderaan komersial, terutamanya bas, dibina mengikut garis panduan R66. Sistem tersebut, yang berkisar pembinaan struktur bumbung kenderaan komersial, boleh mengurangkan kenderaan bergolek kerana struktur bumbung mengikut spesifikasi yang termaktub dalam peraturan tersebut.-
Monday, December 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment