Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008 yang bertujuan untuk membolehkan Jawatankuasa Etika Hakim ditubuhkan bagi bertindak terhadap hakim yang melanggar Kod Etika Hakim 2008 dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama hari ini.
Rang undang-undang itu, yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menetapkan bahawa mana-mana hakim yang melakukan pelanggaran itu boleh dirujuk ke jawatankuasa berkenaan jika Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa pelanggaran itu tidak mewajarkan hakim itu dirujuk kepada suatu tribunal yang dilantik di bawah Fasal (4) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
Jawatankuasa berkenaan mempunyai bidang kuasa dalam perkara yang berhubungan dengan tatakelakuan dan tatatertib semua hakim selain pemecatan seseorang hakim daripada jawatannya di bawah Fasal (3) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
Hakim merujuk kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan termasuk Pesuruhjaya Kehakiman.
Jawatankuasa berkenaan akan dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan sebagai pengerusi manakala keanggotaannya hendaklah dalam bilangan ganjil serta terdiri daripada individu yang memegang jawatan atau yang pernah memegang jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi sebagai mana yang difikirkan patut oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan untuk dilantik.
Monday, December 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment