Wednesday, December 3, 2008

Projek CAR kenyataan Khir Toyo mengelirukan

Saidah Hairan
Wed | Dec 03, 08 | 5:52:38 pm MYT

SHAH ALAM, 3 Dis (Hrkh) - Menteri Besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim menyelar sikap Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyalahkan kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat terhadap masalah projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang, Rawang.

Beliau menegaskan masalah Kampung Sungai Terentang itu bukan perkara baru dan ia boleh diselesaikan lebih awal jika kerajaan Umno-BN di bawah pimpinan Khir Toyo dulu mempunyai pentadbiran yang efisien dan profesional.

"Saya sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah melarang projek CAR oleh TNB daripada diteruskan," tegasnya dalam sidang media, selepas mesyuarat exco jam 2 petang, di tingkat 20 Shah Alam.

Menurut beliau, dakwaan Khir Toyo yang menyalahkan kerajaan negeri kerana melewatkan projek CAR adalah tidak benar sekali dan lebih dikesali kenyataan beliau mengandungi fakta yang salah dan mengelirukan.

Perlu dijelaskan katanya, usaha pengambilan tanah yang melibatkan jaluran asal sepertimana yang dipohon oleh TNB sudahpun dilakukan dan diwartakan oleh kerajaan Negeri.

Tambahan pula tegas beliau keputusan mahkamah mengenai permohonan TNB untuk memasuki tanah yang terlibat juga sudah diputuskan.

"Sekarang TNB dan kerajaan Pusat hanya perlu membuat rundingan dengan penduduk kampung Sungai Terentang bagi meneruskan projek tersebut, tegasnya.

No comments: