Tuesday, January 6, 2009

Tiga calon bertanding di KT

Malaysiakini | Jan 6, 09

Tiga calon akan bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan.

Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut menyerahkan borang pencalonan masing-masing. Seorang lagi ialah calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Pengurus pilihanraya, Datuk Mat Razali Kassim mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding selepas proses bantahan selesai pada jam 11 pagi.

Selepas sesi penyerahan borang tamat, empat bantahan telah dikemukakan tetapi kesemua bantahan itu ditolak, kata Mat Razali.

Wan Ahmad Farid tiba sebaik sahaja pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi. Beliau diikuti oleh Mohd Abdul Wahid Endut pada kira-kira jam 9.10 pagi.

Manakala Azharudin, seorang ahli perniagaan, pula menyerahkan borang pencalonan pada saat-saat akhir pada jam 9.58 pagi. Tempoh penamaan calon berakhir jam 10 pagi.

Beliau tiba awal di pusat penamaan calon tetapi menghadapi beberapa masalah dengan borang pencalonannya, yang perlu diperbetulkan.

Naib presiden parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia, Harun Mohamad - yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk turut bertanding - memutuskan menarik diri daripada bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut. Seramai 80,229 calun pemilih layak mengundi.

No comments: