Friday, January 9, 2009

Polis kumpul petunjuk baru?

KUALA LUMPUR: Polis tidak berputus asa untuk menyelesaikan kes Sharlinie Mohd Nashar, 6, walaupun usaha itu mungkin berdepan pelbagai kesukaran kerana sudah berlarutan sehingga setahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya masih terus mencari dan mengumpul petunjuk baru bagi menyelesaikan kes itu, malah sedia mendapatkan kepakaran dari luar negara jika diperlukan.

"Selain mencari Sharlinie, kita bimbang penjenayah sama mengulangi perbuatannya. Kita sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan," katanya di sini, semalam.

Hari ini genap setahun Sharlinie dilaporkan hilang ketika pulang ke rumah bersama kakaknya di Jalan PJS 2C/11N, Taman Medan selepas bermain di taman permainan berdekatan, pada jam 11.30 pagi.

Usaha polis dan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan pengamal ilmu perubatan tradisional untuk mencari kanak-kanak itu menemui jalan buntu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin turut mengesahkan pihaknya bersedia mendapatkan bantuan daripada pakar luar negara bagi menyelesaikan kes ini.

"Perbincangan sudah dilakukan beberapa kali untuk mencari pakar bagi membantu siasatan kes terbabit," katanya yang turut meminta kerjasama orang awam menyalurkan maklumat kepada polis.

No comments: